Orang kata kawan dan sahabat adalah dua perkara yang berbeza. Kawan senang dicari tetapi tidak sahabat. Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja yang kita suka dan memiliki seberapa ramai kawan yang kita mahu.
Namun sahabat hanyalah untuk orang tertentu sahaja. Sahabat lebih akrab hubungannya. Susah senang segalanya boleh dikongsi bersama. Dan kerana itulah kita sering mendengar kata-kata seperti ini; “waktu kita senang, ramai kawan yang menghampiri, tetapi waktu kita susah ramai kawan yang lari’. dan “kawan ketawa senang dicari, kawan menangis susah dicari”
Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu.
Sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R. Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya ; “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut :
1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.
3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
7. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu
11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
13. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment